KEPTAN MAJU JAYA

KEPTAN MAJU JAYA

Monday, December 26, 2011

Keputusan yang salah

Seorang wartawan menemuramah seorang CEO sebuah bank luar negara

“Tuan, apa rahsia kejayaan anda?”
“Tiga perkataan sahaja” jawabnya.

“Apa itu tuan?”
“Keputusan yang tepat!”

“Bagaimana anda membuat keputusan yang tepat?”
“Satu perkataan sahaja”

“Apa itu tuan?”
“Pengalaman”

“Dan bagaimana anda mendapatkan pengalaman?”
“Tiga perkataan sahaja juga”

“Apa itu tuan?”
“Keputusan yang salah…”

Kesimpulan : Jangan terlalu kecewa jika tersilap langkah, anggaplah itu adalah pengalaman yang mematangkan anda untuk kejayaan cemerlang di masa hadapan.

Thursday, December 22, 2011

Mengasah Kapak

Alkisah ada seorang penebang pokok yang sangat kuat. Dia baru mendapat kerja dari seorang tauke balak.

Majikan memberikan sebuah kapak dan menunjukkan area kerjanya. Hari pertama penebang pokok berjaya menebang 18 batang pokok. Majikan gembira dan berkata, “Bagus, bekerjalah seperti itu!” Oleh kerana termotivasi oleh pujian majikannya, keesokan hari penebang pokok bekerja dengan lebih kuat lagi, tetapi dia hanya berjaya menebang 15 batang pokok.

Hari ketiga dia bekerja dengan lebih kuat lagi, tetapi hanya berjaya menebang 10 batang pokok. Hari-hari berikutnya pokok yang berjaya dirobohkannya makin berkurangan. “Aku mungkin telah kehilangan kekuatanku”, fikir penebang pokok tadi.

Dia menemui majikannya dan meminta maaf, sambil mengatakan dia senditi tidak tahu apa yang terjadi.


“Bila kali terakhir kau mengasah kapak?” majikan bertanya. “Mengasah kapak? Saya tidak ada masa untuk mengasah kapak. Saya sangat sibuk mengapak pokok,” katanya.

Moral:

Kehidupan kita sama seperti itu. Seringkali kita sangat sibuk sehingga tidak mempunyai waktu untuk mengasah kapak. “Di masa sekarang ini, ramai orang lebih sibuk dari sebelumnya, tetapi mereka lebih tidak berbahagia dari sebelumnya.” Mengapa? Mungkinkah kita telah lupa bagaimana caranya untuk tetap tajam?

Tidak salah dengan aktiviti dan kerja keras. Tetapi tidaklah seharusnya kita terlampau sibuk sehingga mengabaikan perkara-perkara yang sebenarnya sangat penting dalam hidup, seperti kehidupan peribadi, menyediakan masa untuk membaca,masa untuk keluarga dan lain sebagainya. Kita semua memerlukan waktu untuk berehat, untuk berfikir dan merenung dan untuk belajar

Bila kita tidak mempunyai waktu untuk mengasah kapak, kapak kita akan tumpul dan kurang efektif. Jadi mulai dari sekarang, fikirkanlah cara bekerja yang lebih efektif dan menambahkan banyak nilai ke dalamnya.

Monday, December 19, 2011

Mana Lebih Senang, Minta Maaf Atau Memaafkan?

Manusia memiliki kesalahan dalam menjalani kehidupan kerana kita bukannya maksum.Oleh kerana ketidak sempurnaan inilah kita membuat kesalahan dan seharusnya meminta maaf atau dalam keadaan “memaafkan” jika orang lain yang bersalah.

Kita sering di dalam keadaan meminta maaf dan kadang-kadang kita merasa seseorang bersalah kepada kita, maka kita di posisi “memaafkan”. Cuba anda kira berapa sering anda di dalam posisi memaafkan? Dalam sehari, seminggu atau sebulan? Pasti sangat banyak dan itu menandakan ketidaksempurnaan manusia sebagai peribadi yg diciptakan bukan menciptakan.

Sekarang, dunia menjadi lebih bersifat keakuan dan semakin berprinsip “hidupmu adalah masalahmu, hidupku adalah masalahku” sering orang berkata “ini hidupku, suka hati aku la nak buat apa..”, “kubur asing-asing” dan sebagainya.


Orang yang berada di posisi bersalah tetapi sangat sukar untuk “meminta maaf” tapi orang dalam keadaan benar pun susah untuk memberi maaf.

Meminta maaf bererti merendahkan diri kepada orang lain yang ditinggikan, kerana kita memerlukan sesuatu dari dirinya, dan itu jelas sangat sukar dilakukan oleh manusia tentunya kerana bersifat “ego” kerana “ego” itulah manusia sukar untuk turun ke bawah dan meminta sesuatu kepada orang lain, terutama meminta maaf kepada orang lain.

Padahal cara meminta maaf lebih mudah daripada makan, cara meminta maaf hanya dengan 1 perkataan “sorry” atu dengan dua patah perkataan – “Minta Maaf” tapi kita susah mengatakan 1 perkataan itu, dan penyebab utamanya adalah ego yang menjadi sifat utama manusia, dan sangat sukar untuk mengalahkan ego. Sebab itulah ada pepatah yang menyeebut “musuh terbesar dalam hidupmu adalah dirimu sendiri”

Kemudian yang kedua inilah adalah bagaimana jika kita memaafkan orang? Mengapa ini juga sukar? Memaafkan orang lain ,hanya memerlukan sedikit tenaga dan usaha untuk mengatakan 2 huruf iaitu “ok” kerana kadang-kadang jika seseorang meminta maaf pada kita, kita tidak memaafkannya, padahal hanya dengan 2 huruf “ok” atau “ya” tetapi kita sangat sukar melakukannya, kalau difikir-fikir lagi lebih jauh, manusia itu hebat, memiliki macam-macam kemampuan dan memiliki banyak keunikan, tapi untuk berkata 2 huruf sahaja menjadi amat sukar sekali.

Punca utamanya adalah kerana kita sebagai manusia memiliki kedudukan dan ego, kita selalu susah mengangkat darjat orang lain yang membuat salah kepada kita. Kita sering berkata didalam otak “senangnya kau cakap “minta maaf” hei,kamu bersalah..aku tidak akan memaafkan mu begitu saja!!” dan itu kerana manusia yang tidak sempurna ini tidak mahu ada orang yang menyamainya dan selalu terus ingin menjadi yang teratas dan yang terbaik, dan ketika orang meminta maaf pada dirinya itulah kepuasan peribadi, kerana dia merasa di atas dan merasa nikmat di posisi seperti itu.

Itulah penyebab utama sukar untuk berkata 1 atau 2 perkataan tersebut.

Oleh kerana “musuh terbesar dalam hidup adalah dirimu sendiri” itulah penyebab utama dari semua kesalahan didalam diri manusia. Kesimpulannya manusia susah memaafkan dan dimaafkan maka marilah kita selalu bermuhasabah, jaga diri dan peribadi supaya meminimumkan membuat kesalahan kepada orang lain kerana mulut kita berat untuk meminta maaf.

Meminta maaf dan memaafkan kedua-duanya berat. So…? Sendrik mau ingat..

Tuesday, December 13, 2011

Kanak-Kanak Dan Rama-Rama

Satu hari ada seorang kanak-kanak lelaki sedang memerhatikan sebuah kepompong. Di dalam kepompong itu ada seekor rama-rama yang sedang berjuang untuk melepaskan diri dari dalam kepompong itu. Kelihatan begitu sukar. Anak lelaki tersebut merasa kasihan pada rama-rama itu dan berfikir bagaimana caranya untuk membantu si rama-rama agar boleh keluar dengan mudah.

Akhirnya kanak-kanak tadi mendapat idea dan mengambil gunting dan memotong kepompong supaya rama-rama tadi boleh dapat keluar dari kepompong. Alangkah leganya kanak-kanak itu setelah si rama-rama berhasil dikeluarkannya dari kepompong.


Tetapi apa yang terjadi?

Rama-rama tadi memang boleh keluar dari sana. Tetapi rama-rama tersebut tidak dapat terbang, hanya dapat merayap.
Apa sebabnya?

Kerana bagi seekor rama-rama yang sedang berjuang untuk keluar dari kepompongnya tersebut, semasa dia mengerahkan seluruh tenaganya, ada suatu cairan didalam tubuhnya yang mengalir dengan kuat ke seluruh tubuhnya yang membuat sayapnya boleh mengembang sehingga ia dapat terbang, tetapi kerana tidak ada lagi perjuangan tersebut kerana dibantu oleh kanak-kanak tadi, maka sayapnya tidak dapat mengembang sehingga jadilah ia seekor rama-rama yang hanya dapat merayap.

Kadangkala niat baik kita (good intention) belum tentu menghasilkan sesuatu yang baik. Sama seperti pada semasa kita mengajar anak kita. Kadangkala kita sering membantu mereka kerana kasihan atau rasa sayang, tapi sebenarnya malah membuat mereka tidak berdikari. Membuat potensi dalam dirinya tidak berkembang, memandulkan kreativitinya, kerana kita tidak sanggup melihat mereka mengalami kesukaran, yang sebenarnya jika mereka berhasil melepasinya, mereka akan menjadi KUAT.

Demikian juga pada semasa kita sedang harus berjuang menghadapi sesuatu, jangan mengharapkan bantuan orang lain, berjuanglah dahulu dengan mengerahkan segala kemampuanmu.

Hidup penuh dengan perjuangan yang boleh membuat “SAYAP” kita boleh berkembang dengan sempurna, untuk kita gunakan “TERBANG” melepasi masalah kita.

Saturday, December 10, 2011

Kehidupan Ini Ibarat Secawan Kopi

Sekumpulan bekas pelajar yang sudah berjaya di dalam kerjaya masing-masing telah berkumpul untuk melawat pensyarah universiti yang pernah mengajar mereka. Mereka berasa gembira kerana dapat bersua sesama mereka setelah lama tidak berjumpa, apatah lagi dapat menemui pensyarah universiti yang selama ini telah banyak membantu mereka ketika menuntut ilmu di universiti yang menatijahkan kerjaya yang baik buat mereka.

Setelah lama berbual, timbullah beberapa rungutan tentang tekanan di tempat kerja dan juga dalam kehidupan seharian yang disuarakan oleh beberapa bekas pelajar ini. Pensyarah itu hanya mendengar dan kemudian beliau ke dapur untuk menyediakan air kopi untuk tetamu-tetamunya.

Beliau kemudiannya keluar dengan membawa satu bekas besar yang berisi air kopi dan beberapa jenis cawan. Ada cawan itu diperbuat daripada porselin, plastik, kaca dan kristal. Ada yang kelihatan ringkas sahaja, ada yang kelihatan murah, ada juga yang kelihatan mahal dan sangat cantik.

Pensyarah itu mempelawa tetamu-tetamunya agar melayan-diri. Masing-masing pergi ke meja tempat dihidangkan air kopi itu dan menuangkan sendiri air kopi ke dalam cawan yang berbagai-bagai bentuk dan buatannya itu. Setelah semuanya mengambil secawan kopi, pensyarah itu berkata:

“Jika anda perasan, kesemua cawan-cawan yang kelihatan cantik dan mahal telah pun diambil, tetapi cawan-cawan yang ringkas dan nampak murah tiada sesiapa yang mahu mengambilnya. Biasalah tu, memang semua nakkan yang terbaik untuk diri sendiri kan…”

Beliau kemudian menyambung.

“Itulah puncanya kepada masalah-masalah anda. Dan itulah sebabnya kenapa anda berasa tertekan dengan kerjaya dan kehidupan.”

“Saya pasti, cawan-cawan itu tidak memberikan apa-apa nilai kepada air kopi yang anda minum. Dalam beberapa situasi, cawan-cawan itu hanya membuatkan kopi yang diminum itu lebih mahal harganya. Dan di dalam situasi yang lain, cawan itu malah menyorokkan apa yang kita minum.”

“Apa yang anda semua betul-betul mahukan adalah air kopi itu, bukan cawannya. Tetapi anda tetap mahukan cawan yang terbaik sifatnya, dan kemudian anda memandang dan menjeling ke arah cawan kawan-kawan anda untuk melihat siapakah yang memiliki cawan yang paling cantik atau paling bagus.”

“Sekarang, cuba anda fikirkan: KEHIDUPAN adalah air kopi. Manakala pekerjaan, wang, pangkat dan kedudukan di dalam masyarakat adalah cawan. Itu semua merupakan alat untuk memegang dan terkandung di dalamnya KEHIDUPAN!”

“Rupa dan jenis cawan tidak memberi makna atau mengubah nilai KEHIDUPAN yang sedang kita jalani ini. Kadang-kadang dengan kita hanya menumpukan kepada rupabentuk CAWAN, kita gagal untuk menikmati AIR KOPI itu. Jadi, nikmatilah AIR KOPI itu, bukan CAWANNYA!”

“Manusia yang bahagia bukanlah mereka yang memiliki yang terbaik dalam setiap perkara. Manusia yang bahagia adalah mereka yang sentiasa membuat yang terbaik di dalam setiap perkara.”

“Hiduplah dengan sederhana. Bercakaplah dengan baik, ambil beratlah dengan sungguh-sungguh, berkasih sayanglah, bermurah hatilah…dan hayatilah kehidupan ini dengan penuh makna, dan jangan terlalu ditumpukan kepada aksesori kehidupan”

Mudah-mudahan kalian dapat memahami mesej yang cuba disampaikan oleh tulisan di atas.